Pengikut

SELAMAT DATANG KE LAMAN Agrohias.blogspot.com

Tanah pertanian yang luas saujana mata memandang tidak akan mendatangkan manafaat sekiranya tidak diurus dengan baik, sebaliknya kawasan persekitaran rumah yang sempit dan terhad boleh memberikan pulangan sekiranya diurus dengan betul.Disamping sebagai sudut rekreasi dan santai, persekitaran rumah juga dapat menghasilkan keperluan harian seperti sayuran dan buahan segar sekiranya ada usaha dan kemahuan.Blog ini dibangunkan khusus untuk berkongsi idea dan pengalaman rakan yang meminati bidang agro sama ada sebagai tanaman hiasan, sara diri atau komersial. Juga sebagai medan mempromosikan teknik berkaitan agro dan hasil yang diusahakan.Semoga ruangan ini memberi manafaat kepada kita semua- Budr® Agrohias.blogspot.com

COUNTER

Memaparkan catatan dengan label Artikal dari media. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikal dari media. Papar semua catatan

Selasa, 18 Jun 2013

Minyak Kelapa Merawat Masalah Memori (Daya Ingatan) Dan Alzheimer

Hanya Empat Camca Teh Minyak Kelapa

DR. BAHRAIN SAMAH,MD (AM),RH (AHG)

Mekanisme baru penyakit alzheimer adalah dengan meminum minyak kelapa

SEORANG doktor wanita, Dr Mary Newport bertugas sebagai pengarah perubatan unit rawatan rapi bayi yang baru dilahirkan di sebuah hospital di Florida sejak 2003.

Pada tempoh yang sama, ketika unit tempat beliau bertugas dibuka, suami beliau yang ketika itu berumur 53 tahun mula mengalami dementia iaitu sejenis penyakit dengan gejala masalah memori dan personaliti.

Selepas didiagnosis beliau didapati menghidap alzheimer. Menurut Dr Newport, beliau menjadi pelupa selama beberapa hari berturut-turut. Beliau tidak menjumpai sudu atau mengingati untuk mendapatkan air dari peti sejuk.

Pada peringkat awal, rawatan yang dijalani oleh suami Dr Newport adalah dalam bentuk ubat-ubatan moden seperti Aricept, Namenda dan Exelon.

Malang sekali, penyakit yang dialaminya semakin parah. Setelah Dr Newport tidak berjaya untuk menyertai ujian ke atas ubatan baru penyakit alzheimer, beliau mula mencari mekanisme penyakit alzheimer.

Ramai tidak tahu (barangkali sebahagian besar doktor juga) bahawa kajian terkini mendapati pelbagai ubat-ubatan moden untuk merawat alzheimer langsung tidak memberangsangkan - tahap kebaikan yang mengecewakan dan kesan sampingan yang buruk.

Medium-chain trigyseride

Berdasarkan kajian sains, Dr Newport mendapati sesetengah saintis percaya bahawa penyakit alzheimer berpunca daripada ketidakupayaan otak untuk memproses glukos lalu menyebabkan kematian sel otak.

Apabila tubuh kita kekurangan glukos ia akan secara automatik membina ketona. Tubuh kita membina ketona dari trigliserida rantai sederhana (medium-chain trigyseride, MCT) seperti yang terdapat dalam minyak kelapa.

Makan makanan tinggi lemak serta tanpa karbohidrat akan menyebabkan tubuh membina ketona. Ia merupakan diet ketonik (ketonic diet) yang keterlaluan kerana ia tidak mengandungi karbohidrat. Namun terdapat cara yang mudah tanpa bersusah payah menjalani diet ketonik yang barangkali terdiri daripada makanan berlemak yang tidak menyelerakan, terutama apabila diambil untuk jangka panjang.

Mengambil minyak kelapa adalah cara yang mudah tanpa perlu mengubah diet sedia ada.

Apabila trigliserida rantai pendek yang terdapat dalam minyak kelapa dicerna, hati akan mengubahnya kepada beberapa jenis ketona.

Ramai orang tidak tahu bahawa beberapa minggu kehidupan awal bayi yang baru lahir sebenarnya bergantung kepada ketona. Ia membekal 25 peratus tenaga untuk kehidupan bayi.

Susu ibu kaya dengan kandungan asid laurik iaitu lemak tepu kuantiti tertinggi yang terdapat dalam minyak kelapa dan santan kelapa.

Dr Newport mendapat tahu daripada penyelidikan yang dilakukannya (melalui pembacaan) bahawa bahan dalam ujian ubatan penyakit alzheimer yang didapati amat berkesan sebenarnya ialah trigliserida rantai pendek yang didapati daripada minyak kelapa atau minyak isi rong kelapa sawit.

Dos yang digunakan dalam ujian ialah 20 gram iaitu lebih kurang 20 mililiter atau empat camca teh.

Rawat pelbagai penyakit

Kajian terkini mendapati ketona yang dibina oleh tubuh dari trigliserida rantai pendek setelah menjalani metabolisme bukan sahaja mengelakkan seseorang daripada mengalami alzheimer malah membantu memulihkan seseorang yang mengalaminya.

Selain itu, ia juga dipercayai berpotensi untuk merawat penyakit parkinson, huntington, multiple sclerosis, penyakit Lou Gehrig, epilepsi kebal ubat, diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2. 

Suami Dr Newport mengambil minyak kelapa dengan kekerapan dua kali sehari.

Pada peringkat awal beliau tidak mampu untuk melakar sebuah jam. Selepas dua minggu menjalani rawatan menggunakan minyak kelapa, lakaran jam beliau semakin bertambah baik.

Selepas 37 hari, lakaran suami Dr Newport menjadi bertambah sempurna. Minyak kelapa yang diambilnya dipercayai mengalih kabus daripada otaknya.

Pada hari ke-60, suami Dr Newport telah mengalami perubahan yang amat menarik.

Setiap pagi beliau berasa sensitif akan keadaan sekeliling dan gembira. Beliau mula banyak bercakap dan buat kelakar. Bahagian anggota yang menggigil semakin kurang kelihatan.

Beliau mula menumpukan perhatian kepada sesuatu perbuatan yang beliau ingin lakukan dan terus melakukan perbuatan yang sedang dilakukan.

Sebelum rawatan minyak kelapa perhatian beliau mudah terganggu. Beliau jarang dapat melakukan atau menghabiskan sesuatu perbuatan kecuali jika dibantu.

Selepas setahun, sifat pelupa beliau semakin berkurangan. Beliau boleh berlari.

Selain itu pembacaan beliau semakin bertambah baik.

Memori jangka pendek juga bertambah baik. Imbasan menggunakan mesin magnetic resonance imaging terbaru menunjukkan proses kerosakan otak yang beliau alami selama ini telah berhenti sama sekali.

Apakah sebenarnya yang berlaku di sini?

Ubat-ubatan yang dipatenkan bagi merawat penyakit alzheimer semuanya gagal. 

Trigliserida rantai sederhana seperti yang terdapat dalam minyak kelapa dan minyak isi rong kelapa sawit tidak boleh dipatenkan.

Namun sebuah syarikat pengeluar ubatubatan moden telah berusaha menggunanya dalam ujian yang diselia oleh FDA. Ia didapati berkesan.

Seorang doktor yang pintar iaitu Dr Newport telah menggunakan minyak kelapa setelah menggunakan pelbagai ubat-ubatan mahal yang tidak berkesan malah menjadikan penyakit alzheimer yang dialami suaminya semakin parah.

Penulis ingin berkongsi sesuatu yang semua pembaca perlu tahu iaitu ketona yang dibina oleh tubuh dari minyak kelapa semula jadi tahan lebih lama berbanding dari versi ubatan.

Ketona dibina daripada minyak kelapa tahan selama lapan jam, sebaliknya ketona yang dibina daripada versi ubatan hanya bertahan tiga jam. 

Nenek moyang kita menggunakan santan dalam masakan tanpa pernah bimbang dengan kenaikan paras kolesterol.

Mereka menggoreng menggunakan minyak kelapa yang dibuat sendiri tanpa bimbang dengan sakit jantung koronari di mana hari ini ia dikaitkan dengan pengambilan makanan tinggi kolesterol dan lemak tepu.

Keburukan lemak tak tepu

Hakikatnya ialah lemak tepu ialah lemak yang menyihatkan. Ia tidak mudah teroksida berbanding minyak kaya lemak tak tepu (kerana mengandungi ikatan ganda dua).

Lemak tepu mengukuhkan struktur membran sel dan seterusnya menjaga keutuhan pelbagai jenis reseptor dan laluan ions.

Sebaliknya struktur lemak tak tepu yang bengkok akan menjadikan struktur membran sel tidak kukuh dan seterusnya mengganggu fungsi (mungkin juga mengurangkan bilangan, istilah bahasa Ingeris: down regulate) reseptor dan laluan ion. 

Dengan menggunakan ilmu biokimia, ilmu mengenai kaitan jenis lemak dan keutuhan membran sel di atas dapat dikaitkan dengan perawatan atau pembentukan pelbagai penyakit.

Minyak kelapa terbaik untuk merawat penyakit alzheimer dan penyakit lain ialah minyak kelapa dara.

Minyak kelapa dara disediakan dengan proses pemeraman dikatakan lebih baik dari beberapa segi berbanding dengan yang disediakan dengan dimasak.

Untuk mengetahui berita lanjut mengenai kisah Dr Newport merawat suaminya sila lawati HYPERLINK http://www.coconutketones.com/.

Selasa, 24 Julai 2012

Hibrimas sumber ekonomi

Zulkifli Chek (kanan) bersama pengusaha jagung manis Hibrimas, Abdullah Zawawi di Kampung Paloh, Tanah Merah, berbincang mengenai tanaman tersebut semasa program pegawai MARDI melawat tapak projek pertanian di sekitar daerah Kelantan, baru-baru ini.

Suasana kampung sepanjang jalan Tanah Merah Kelantan lebih kurang serupa di beberapa daerah lain di negeri itu.

Bagaimanapun di sepanjang jalan menuju ke Pasir Mas itu gerai-gerai jual hasil tanaman segar kelihatan di sana sini daripada buah labu, tembikai, air kelapa muda sehinggalah kacang rebus dan juga jagung.

Rumah seni bina kampung daripada kayu diukir berdindingkan konkrit atau separa batu dan kayu menjadi identiti menarik di situ dan kelihatan seperti 'pagar' sepanjang jalan sehinggalah melindungi apa yang terkandung di sebaliknya perkampungan tersebut

Timbul pertanyaan, di manakah sebenarnya penduduk kampung memperoleh kacang dan jagung yang direbus itu.

Apabila perjalanan dihentikan sebenar dan singgah untuk menikmati air segar kelapa muda dan jagung manis di salah sebuah gerai di Kampung Paloh, pegawai Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut serta memberitahu, jagung yang direbus itu ditanam sendiri oleh mereka.

Rupanya, mereka mengusahakan tanaman jagung sejak sekian lama dengan pelbagai varieti.

Pemilik gerai berkenaan, Wan Rahimah Wan Yusoff, 59, memberitahu, jagung tersebut ditanam suaminya di satu kawasan penanaman jagung terletak di seberang jalan, kira-kira satu kilometer dari tepi jalan berkenaan..

Selepas menikmati jagung bakar dan air kelapa muda, kami menyelusuri jalan berdebu berhadapan gerai di seberang jalan.

Tidak lama selepas itu, kami melihat sendiri kawasan penanaman jagung yang luas yang mana sebahagiannya telah dituai, manakala sebahagian lagi baru lepas ditanam.

Hamparan warna kuning dan hijau berselang seli membezakan kedua-dua kawasan tersebut dan kelihatan cantik dalam panas terik.

Kami disapa dengan seorang lelaki separuh baya yang memperkenalkan diri sebagai Ketua Projek Jagung Berkelompok kawasan tersebut.

Mat Zin Harun memberitahu, dia mengetuai projek tersebut yang melibatkan kawasan seluas 70 ekar atau 28 hektar yang keseluruhannya untuk penanaman jagung melibatkan 10,000 pokok bagi setiap ekar.

''Kami kini menanam varieti Hibrimas yang menggantikan varieti hibrid 969 dan 926 sejak tahun lepas. Kami amat berpuas hati dengan Hibrimas yang lebih menguntungkan,'' katanya kepada wartawan Utusan pada program lawatan bersama pegawai MARDI ke tapak projek tersebut baru-baru ini

Varieti berkenaan mempunyai banyak keistimewaan antaranya tahan kepada tiupan angin kuat dan ciri ciri tersebut mendorong mereka memanfaatkan produk hasil penyelidikan MARDI itu.

Mat Zin yang menyelia 40 orang di bawah program tersebut berkata, setiap peserta yang mempunyai pengalaman terbabit dalam penanaman jagung lebih dua puluh tahun diperuntukkan antara satu hingga lima ekar seorang.

Katanya, dengan tanpa masalah seperti tiupan angin, hasil jagung boleh mencecah hampir 90 peratus kerana tidak ada kerosakan pokok. Maka peserta boleh meraih antara RM7,000 dan RM8,000 seekar semusim.

Mengenai pasaran, dia memberitahu, selain dibeli oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA ) pada harga 55 sen setongkol, peraih juga datang membelinya selain dijual di gerai gerai.

Harganya iaitu antara RM60 dan RM70 bagi 100 tongkol jagung.

Sumber:http://www.utusan.com.my

nuffnang

visitors