PERUTUSAN HARI GURU 2012
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,
1.          Semenjak   tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf begitu signifikan   dan diabadikan menerusi ungkapan tema Hari Guru yang diraikan pada 16   Mei setiap tahun. Guru dipandang tinggi sebagai pemangkin pembangunan   negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara   di samping memacu kejayaan rakyat. Guru yang melengkapi diri dengan   kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui mampu menjamin keberhasilan   negara, antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras kejayaan wawasan,   guru berkesan pendidikan cemerlang, guru berkualiti pemangkin   kegemilangan dan guru cemerlang negara terbilang.
2.            Pada   tahun ini, tema “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan   Negara” telah dipilih sebagai galakan kepada guru menyuburkan inovasi.   Tema ini selaras dengan pengisytiharan oleh Yang Amat Berhormat Perdana   Menteri Malaysia bahawa tahun 2012 merupakan Tahun Sains dan Gerakan   Inovasi Nasional. Sehubungan itu, amat wajarlah bagi para pendidik   mempersiap diri membudayakan inovasi dalam proses pengajaran dan   pembelajaran dan aktiviti koakademik serta kokurikulum di dalam dan di   luar bilik darjah.
3.            Sebagai   golongan profesional yang menjana dan menjuarai perubahan, kita perlu   peka dan bersedia memperlengkapi diri menjadi guru yang inovatif. Guru   yang inovatif berupaya menjana idea, konsep atau strategi baru yang   boleh mempertingkat amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada   generasi anak didik. Guru yang inovatif juga berkemampuan mencipta   kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta   menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang memudah dan melancarkan   proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, seorang guru yang   inovatif juga mempunyai tahap ketekunan yana tinggi, belajar daripada   kesilapan, menyusun dan mengurus idea secara perekodan sistematik serta   sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan baharu. Natijah yang akan   dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat serta   berinovatif dalam mempermajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan   mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan   idea-idea.
Warga pendidik yang diraikan sekalian,
4.            Kesinambungan   sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui transformasi yang   berbentuk dinamik dan progresif yang akan direalisasikan oleh para guru   yang inovatif, proaktif, berdedikasi, dan berdaya saing. Sehubungan  itu,  Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan program bina  upaya  untuk meningkatkan amalan profesionalisme keguruan bagi menyokong  usaha  melaksana transformasi pendidikan secara keseluruhan. Objektif  Pelan  Pembangunan Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan Pendidikan  secara  khususnya bermatlamat melahirkan para pendidik yang berwatak   profesional, berkompeten dan berkesanggupan memikul amanah yang lebih   besar.
Warga pendidik sekelian,
5.            Pelbagai   ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh pihak kerajaan bagi   memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan   kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha, misalnya melalui   pemberian dan penganugerahan kepada warga guru seperti dalam aspek   perjawatan dan perkhidmatan. Anugerah dan beberapa penambahbaikan dalam   skim perkhidmatan guru menggambarkan keprihatinan kerajaan kita.   Sesungguhnya perkara ini diharapkan menjadi sebagai satu inspirasi dan   dorongan kepada guru untuk terus memberikan perkhidmatan yang effisyen   dan cemerlang dalam dunia pendidikan yang berkembang pesat di samping   melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global.
6.            Pihak   kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban tugas guru   yang semakin bertambah dan rencam. Sehubungan itu, bermula pada tahun   2012, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru   (JKPMIBTG) telah memberikan tumpuan kepada lima fokus utama bagi   menangani isu beban tugas guru iaitu menambah baik pelan operasi latihan   tahunan untuk mengelakkan pertindihan kursus; menambahkan staf  sokongan  untuk tugas perkeranian; mengurangkan bilangan jawatankuasa di   peringkat sekolah; mengurangkan bilangan ujian/peperiksaan dan   meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan sekolah dan pengajaran dan   pembelajaran.
7.            Justeru,   saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili semua warga pendidik di   negara ini untuk menyatakan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih   yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang tidak pernah   meminggirkan kebajikan para guru. Keprihatinan berterusan oleh kerajaan   ini merupakan suntikan semangat agar warga pendidik terus gigih,   inovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab   melahirkan generasi masa depan yang berjati diri, berdaya saing,   bertanggungjawab, berpegang teguh kepada ajaran agama serta mengamalkan   nilai sejagat.
Anak-anak murid yang disayangi sekelian,
8.          Saya   yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh para guru di  samping  tekanan yang dihadapi sedikitpun tidak melunturkan rasa kasih  dan  sayang kepada anak-anak didik semua. Semua guru yang ada di hadapan   murid-murid semua adalah guru penyayang. Kehadiran murid ke sekolah   tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu dan   mempertingkat kualiti diri. Setiap murid di mata dan hati seorang guru   adalah permata yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri.   Jika digilap dan dikembangkan potensinya nescaya akhirnya mereka dapat   menjadi individu dan warganegara yang berdaya saing, berfikiran kreatif   dan kritis, berbudi pekerti mulia dan sedar akan kepentingan amalan   berterima kasih. Sekiranya ada antara murid-murid yang ditegur oleh   guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi.   Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang sentiasa   mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua.
9.            Akhir   kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi  sekalian  terus melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi,  bertunjangkan  integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku  pencetus,  penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi  sistem  pendidikan negara, warga pendidik mempunyai kedudukan  tersendiri,  disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Marilah kita  teruskan  amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban,  istiqamah dan  semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan  yang terbaik  demi nusa dan bangsa. Sebagai penutup, ingin saya titipkan  mutiara kata  Syeikh Muhammad Abduh, seorang tokoh pendidikan di Mesir,  “Kemuliaan  ialah membangun umat yang telah binasa, membuka selubung  kebodohan  mereka, memberi peringatan dan petunjuk (hidayah), menuntut  hak yang  terampas, mengingatkan akan kemuliaan yang hilang, membangun  umat dari  tidur dan kelalaian mereka, serta menyatukan suara untuk  memperbaharui  gerak langkah”.
WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN
TERIMA KASIH CIKGU … “SELAMAT HARI GURU”!
DATO’ SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Perutusan Hari Guru 2012
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan