SELAMAT DATANG KE LAMAN Agrohias.blogspot.com

Tanah pertanian yang luas saujana mata memandang tidak akan mendatangkan manafaat sekiranya tidak diurus dengan baik, sebaliknya kawasan persekitaran rumah yang sempit dan terhad boleh memberikan pulangan sekiranya diurus dengan betul.Disamping sebagai sudut rekreasi dan santai, persekitaran rumah juga dapat menghasilkan keperluan harian seperti sayuran dan buahan segar sekiranya ada usaha dan kemahuan.Blog ini dibangunkan khusus untuk berkongsi idea dan pengalaman rakan yang meminati bidang agro sama ada sebagai tanaman hiasan, sara diri atau komersial. Juga sebagai medan mempromosikan teknik berkaitan agro dan hasil yang diusahakan.Semoga ruangan ini memberi manafaat kepada kita semua- Budr® Agrohias.blogspot.com

Khamis, 10 September 2015

Iklim Malaysia Sesuai Untuk Tanaman Kurma

Belum lagi reda tentang pokok Tin @ fig tiba-tiba tanaman kurma @ tamar pula mencuri tumpuan. Saya terima kiriman daripada kawan-kawan grop "WhatsApps" tentang tanaman padang pasir ini yang boleh berbuah di negara kita. Sebelum inipun, pada tahun lepas kita digemparkan dengan 10 pohon tamar yang di tanam sebagai tanaman landskap di bandar Kota Bharu berbuah dengan lebat. Diikuti pula dengan beberapa pokok lagi di tempat berlainan. Namun kesemua pokok tamar tersebut mengambil masa yang agak lama untuk berbuah.

Berlainan dengan sumber yang saya terima pada kali ini. Dikhabarkan pokok-pokok kurma ini boleh mengeluarkan buah seawal usia 2 tahun dan boleh ditanam di dalam pasu. Jika benar begitu bertuahnya iklim negara kita. Sama seperti negara Thailand yang boleh dikatakan tiada tanaman yang tidak dapat tumbuh di buminya.

Anak-anak pokok seumpama anak kelapa sawit. Sesuai ditanam pada semua jenis tanah kecuali yang mempunyai air bertakung. Kaedah penanamannya juga hampir serupa dengan menanam pokok sawit.Menurut pengirim info lagi tamar boleh ditanam secara ladang dengan kedalaman 1 kaki dengan luas 2x2 kaki.Jarak antara pokok pula ialah 28 kaki atau kadar 60 pokok untuk satu ekar persegi.

Kurma boleh berbuah hanya 2 kali setahun.Satu pokok tamar matang boleh menghasilkan kira-kira 100 kg buah setahun dengan harga pasaran RM 40 sekilogram. Yang agak menggusarkan ialah benihnya yang agak mahal. Menurut sumber lagi harga sepopok benih tamar kira-kira RM 350.

Saya sempat berbicara dengan salah seorang yang terlibat menjalankan aktiviti perniagaan  tanaman ini, En. Sabar bin Sulaiman yang berlokasi di Batu Pahat, Johor. Menurutnya pada masa ini hanya terdapat pokok-pokok tamar matang yang telah berbuah di Kelantan dan Kedah. Di negeri-negeri lain masih pada peringkat awal penanaman.

Menurutnya lagi, mereka adalah konsultan penanaman tamar sehingga berbuah dan pembekalan nursery kurma atau tamar.Jika terdapat pengusaha-pengusaha yang berminat untuk menanam secara ladang, mereka boleh memberi bantuan dan pemantauan sehingga tanaman tersebut berbuah.

Bagi peminat tanaman ini secara suka-suka, En. Sabar mencadangkan agar tanaman ini ditanam di 4 penjuru kediaman.Syarikatnya boleh membekalkan anak benih dengan harga RM 370 sepokok beserta baja. Khidmat nasihat dan pemantauan juga diberikan sehinggalah tanaman ini berbuah. Menurutnya lagi pokok-pokok di bawah seliannya akan diganti baharu jika mati.

Contoh kurma Thailand.
Gambar bawah ialah pokok kurma yang saya semai sendiri. Berusia lebih 2 tahun. Sekadar suka-suka dari baka YUTA. Saya tidak pasti samaada kurma yang ditanam secara pembiakan biji benih ini dapat berbuah atau tidak. Hasil pemerhatian saya dalam kalangan penduduk setempat yang menanam pokok ini, sehingga kini pokok kurma yang ditanam mereka masih belum menampakkan tanda-tanda mahu berbuah.

Contoh kurma baka YUTA.
Untuk pertanyaan En. Sabar boleh dihubungi di talian 0137141728.

Info sumber : En. Rozidi (Bagan Serai) dan En. Muazam (Johor).

Isnin, 7 September 2015

Anak-anak Pokok Tin Yang diusahakan Saudara Azli

Beberapa minggu lalu ketika transit di rumah sahabat untuk aktiviti rutin menjoran, kediaman cikgu Nizam, di Bandar Baharu, Kedah saya terpandang anak-anak pokok tin yang berbaris menjajari tepian pagar salah seorang penduduk taman perumahan di situ.

Betul-betul di hadapan rumah cikgu Nizam. Saya amat teruja lantas bertanyakan siapa gerangan pemiliknya. 

Semalam saya mendapat jawapannya, disertakan dengan sedikit info dan foto tentang tanaman yang diusahakan pemilik rumah tersebut.

Pohon tin yang ditanam secara terbuka dan bermediumkan pasu plastik sederhana tanpa pelindung panas.

Ini wajah pengusaha tanaman tersebut, saudara Azli Hamid yang tinggal di Taman Sri Delima, Bandar Baharu, Kedah. Setakat ini terdapat lebih kurang 20 spesis pokok tin yang dibiakkannnya secara keratan batang dan tut.

Anak-anak benih dari keratan batang dan pokok tut yang baharu dialihkan ke dalam bekas semaian.


 Anak-anak benih yang mulai pulih telah dialihkan ke dalam pasu.
Pokok-pokok yang telah matang dan menghasilkan buah disusun rapi di sekekitar ruangan tepian rumah yang terhad.

Untuk memastikan tumbuhan ini tumbuh dengan baik, saudara Azli menggunakan campuran tanah yang tidak menyimpan terlalu banyak kandungan air. 

Beliau juga menggunakan serpihan kulit telur yang dihancurkan untuk mengelakkan serangan sesetengah serangga.
Tanaman tin yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak empat tahun belakangan ini juga menarik minat sahabat saya, cikgu Nizam untuk mencuba tanaman ini di kediamannya. 

Gambar bawah ialah pokok tin yang baru dibeli daripada Saudara Azli.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan anak benih pokok ini, bolehlah berkunjung ke kediaman Saudara Azli  di Taman Sri Delima, Bandar Baharu, Kedah Darul Aman. 

Rakan-rakan agro yang tinggal sekitar Slim River boleh juga memesan melalui saya jika kebetulan jadual atau trip menjoran saya yang berlangsung di sebelah utara. 

Harga yang ditawarkan agak berpatutan dan bergantung kepada saiz dan jenis pokok. Sehingga catatan ini dibuat harga yang dimaklumkan kepada saya bermula dengan RM 100 untuk setiap anak pokok.- Tokanpuakajoran. - Gambar-gambar sumbangan cikgu Nizampuakajoran.

Jumaat, 4 September 2015

Cili Penghias Halaman

Hari ini saya masih ingin membuat "posting" tentang sesi rondaan saya ketika pulang ke kampung. Saya paparkan bagaimana usaha gigih seorang teman yang menjadikan halaman rumahnya hijau dengan tanaman cili besar. Begitu subur dan lebat berbuah. Sayangnya sewaktu ketibaan saya cili-cili ini belum masak.Jika tidak suasana pasti lebih menarik.





Menurut pengusahanya En. Halil, dia menanam tanaman ini sebagai aktiviti sampingan dan hobi. Jika kita menanam bunga-bungaan kita mungkin dapat hanya sebagai penyeri halaman tetapi jika kita menanam sayur-sayuran kita juga dapat menikmati hasil berganda. Selain daripada penyeri cili-cili ini dapat dijadikan sayuran harian dan selebihnya disedekahkan kepada jiran-jiran. Jika berlebihan pula cili-cili ini dijual di kedai berhampiran.

Penjagaan tanaman ini tidaklah terlalu sukar. Beliau hanya menggunakan tanah di persekitaran rumah manakala bajanya daripada kompos yang terdapat di persekitaran dan tinja kambing. Apa yang menjadi masalahnya ialah jika tanaman ini terkena penyakit atau diserang serangga perosak seperti hama dan semut. En. Halil menggunakan kaedah cabut dan bakar jika pokok-pokok ini tidak dapat diselamatkan bagi mengelakkan penyakit merebak ke pokok lain.

Penggunaan racun serangga perosak dengan kadar yang terkawal juga kadang-kala terpaksa diamalkan namun keselamatan penggunaannya haruslah dititikberatkan memandangkan pokok-pokok cili ini di tanam di kawasan halaman rumah. Racun serangga yang dicadangkan ialah dari jenis aerosol yang bahan cairannya berasaskan air.

Jika ada pembaca yang sudi berkongsi teknik pembuatan racun serangga berasaskan bahan semula jadi dan organik, beliau sangat mengalu-alukannya.

nuffnang