SELAMAT DATANG KE LAMAN Agrohias.blogspot.com

Tanah pertanian yang luas saujana mata memandang tidak akan mendatangkan manafaat sekiranya tidak diurus dengan baik, sebaliknya kawasan persekitaran rumah yang sempit dan terhad boleh memberikan pulangan sekiranya diurus dengan betul.Disamping sebagai sudut rekreasi dan santai, persekitaran rumah juga dapat menghasilkan keperluan harian seperti sayuran dan buahan segar sekiranya ada usaha dan kemahuan.Blog ini dibangunkan khusus untuk berkongsi idea dan pengalaman rakan yang meminati bidang agro sama ada sebagai tanaman hiasan, sara diri atau komersial. Juga sebagai medan mempromosikan teknik berkaitan agro dan hasil yang diusahakan.Semoga ruangan ini memberi manafaat kepada kita semua- Budr® Agrohias.blogspot.com

Jumaat, 25 Mei 2012

Peria @ Momordica charantia

Cubaan kali pertama menanam peria berhasil.Tidak terlalu sukar untuk menanam tanaman menjalar ini.Beli sahaja biji benih di kedai dan terus tanam di tanah yang telah digembur.Siram setiap hari dan beberapa minggu selepas itu hasilnya....
 
Buah sulung....




Buah sulung pada pokok kedua.

Di penjuru ruangan yang terhad namun masih mampu membuahkan hasil.

Sedikit Info Mengenai Peria.

Nama Saintifik: Momordica charantia
Nama Inggeris: Bitter Gourd

Peria adalah sejenis tumbuhan memanjat.Dipercayai berasal dari Selatan China. Peria juga dikenali sebagai ‘ku gua’ sudah lama digunakan sebagai satu herba dalam perubatan tradisional China.

Penggunaan peria kini semakin meluas. Di Asia Tenggara, Australia dan Amerika Syarikat, peria kini menjadi bahan penting bagi merawat penyakit leukimia, HIV dan AIDS.

Biarpun setakat ini belum ada kajian saintifik sepenuhnya dijalankan bagi menguji keberkesanan peria dalam menangani penyakit berkenaan, terdapat beberapa kes yang menunjukkan tumbuhan itu boleh membantu menghentikan dan ada kalanya membalikkan penyakit itu daripada merebak.

Peria didapati boleh meningkatkan semula kiraan sel CD4 (sel imun) dalam tubuh manusia. Ujian darah untuk meguji jumlah kiraan sel imun adalah perkara paling asas untuk mengetahui perkembangan dan betapa seriusnya terhadap HIV dan AIDS.

Peria juga didapati berguna untuk merawat arthritis dan ‘opportunistia infections’, misalnya harpes kemaluan, tuberkolisis dan beberapa jenis penyakit kulit yang menyerang berikutan sistem imunisasi lemah.

Buah peria adalah buah yang mempunyai bentuk aneh dan sering digunakan sebagai sayuran dalam masakan Asian. Ia berbentuk yang seperti timun tetapi dengan kulit yang bersusuk dan berbenjolan. Buah ini selalunya dimakan ketika berwarna hijau tetapi ada juga yang memakannya apabila ia sudah masak dan berwarna kekuningan walaupun rasanya lebih pahit.

Isinya yang halus boleh digoreng berlemak, dicelur dan dimakan sebegitu sahaja, atau ditambah ke dalam sup dan digoreng. Buah ini jarang dicampur dengan sayuran lain kerana rasa pahitnya yang kuat.

Petua:

Kepahitan buah peria boleh dikurangkan dengan menggaulkannya dengan garam terlebih dahulu. Kemudian basuh sebelum potong untuk dimasak.

Khasiat peria

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my

Hidangan enak, kaya manfaat perubatan

RASA peria memang pahit menyebabkan tidak ramai yang menggemarinya. Tetapi, kata orang tua, pahit itu elok, pahit itu ubat dan sememangnya, peria banyak khasiatnya, malah boleh dijadikan hidangan enak jika kena cara memasaknya.

Bukan itu saja, peria atau nama saintifiknya, momordica charantia juga memberikan manfaat untuk individu menjaga kecantikan.

Begitulah hebatnya peria yang juga dikenali kambas, walaupun berasa pahit dan ramai yang kurang menyukai sayur itu, ternyata ia mempunyai banyak kebaikan. Justeru, ketepikan soal pahit dan cuba nikmati ‘kemanisan’ yang dimiliki peria. Antara pelbagai khasiat yang terdapat dalam sayur itu ialah mengandungi protein, lemak, mineral, serat, karbohidrat, vitamin dan kalsium.

Khasiat purba sudah diketahui sejak zaman purba lagi. Ketika itu, peria digunakan untuk merawat beberapa penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan buasir. Begitu juga bagi wanita yang baru bersalin, disyorkan mengamalkan makan peria ketika berpantang, lebih-lebih lagi apabila sudah kehilangan banyak darah sewaktu melahirkan anak.

Air rebusan peria juga dapat digunakan untuk menyejukkan bahagian dalaman tubuh, misalnya rasa panas radang manakala bagi yang mengalami buasir, disarankan rebus daun peria dan campurkan ke dalam segelas susu atau minuman setiap pagi.

Pengidap kencing manis, disarankan mengambil peria sebagai menu harian bagi penjagaan kesihatan kerana ia mengandungi insulin yang berfungsi mengawal kadar glukosa dalam darah.

Khasiat peria tidak saja dikenali di negara ini sebaliknya di seluruh dunia. Pakar perubatan China misalnya dikatakan, menggunakan peria untuk merawat asma dan haid yang lewat. Di Filipina, daun peria yang dilumatkan diletakkan ke dalam mulut bayi yang baru lahir untuk merangsangkan sistem imunisasi tubuhnya. Selain itu, ia digunakan juga sebagai ubat pupuk untuk merawat gigitan serangga.

Lebih menarik, kajian di luar negara mengenai peria mendapati masalah ketagihan alkohol juga boleh diatasi dengan meminum air daun peria. Di Australia dan Amerika Syarikat, peria kini menjadi bahan penting bagi merawat penyakit leukimia, HIV dan AIDS.

Selain kegunaan dalam perubatan dan menyembuhkan penyakit, peria boleh juga dijadikan hidangan enak yang membuka selera. Bagi yang ingin menjaga dan mengekalkan kesihatan sihat, bolehlah menggunakan sayur pahit itu dalam masakan. Dengan kandungan khasiatnya yang merangkumi serat, lemak, karbohidrat dan protein, anda boleh menghasilkan menu sihat.

Antara hidangan yang membangkitkan selera menggunakan peria ialah masak lemak cili api ikan tenggiri atau anda boleh juga menggantikannya dengan jenis ikan lain seperti kembung dan ikan merah. Dengan rasa kuah yang lemak dan pedas, rasa pahit pada peria dapat dilupakan seketika. Namun, jika untuk mengurangkan rasa pahit peria, amalan petua tradisional yang boleh diamalkan ialah merendamkan sayur itu dalam air kapur sirih sebelum dimasak.

Petua lain yang boleh diamalkan bagi mengatasi rasa pahit peria ialah hiriskan peria terlebih dulu mengikut keperluan masakan, kemudian gaulkan dengan garam kasar. Biarkan selama lima minit, selepas itu cuci peria berkenaan beberapa kali dengan air bersih sebelum dimasak. Hasilnya, buah peria yang sudah dimasak itu tidak akan berasa pahit apabila dimakan.

Peria juga boleh dijadikan hidangan sayur goreng yang sedap. Untuk tidak membiarkan hidangan sayur goreng itu hambar, anda boleh menambahkan kesedapannya dengan meletak rencah seperti udang, ayam dan telur.

Cara menyediakannya juga mudah iaitu dengan menumbuk dua ulas bawang, satu ulas bawang putih dan satu biji cili merah. Selepas ditumbuk, tumiskan dalam kuali yang berisi dua camca teh minyak masak. Apabila bahan yang ditumis sudah garing, masukkan rencah yang disukai dan biarkan seketika sebelum memasukkan peria yang sudah siap dihiris. Biarkan peria itu empuk dan bersatu dengan bahan ditumis tadi, kemudian barulah boleh dihidangkan untuk dimakan.

Resipi sihat yang lain ialah dengan menggoreng peria itu menjadi rangup sehingga sedap dimakan begitu saja. Jika anda kreatif dan gemar memasak, mungkin lebih banyak lagi resipi berasaskan peria yang boleh anda cipta. Malah, ada yang menghasilkan peria sebagai jus untuk menghilangkan dahaga dan smoothie bagi pembuka selera.

Kelebihan lain peria ialah memberikan manfaat dalam penjagaan kecantikan terutama kulit. Peria dikatakan, boleh membantu menghalang jerawat tumbuh berleluasa pada kulit muka kerana mengandungi ciri penulenan darah.

Dengan kebaikan dan kelebihan yang ada pada peria, rugi sekali jika tidak mengambil kesempatan atau memanfaatkan ia sepenuhnya dalam kehidupan seharian anda.

Kebaikan peria

Penjagaan kulit
Peria boleh menghalang jerawat tumbuh berleluasa pada kulit muka kerana mengandungi ciri penulenan darah. Kulit muka juga akan nampak lebih berseri-seri.

Perangsang imun
Minum segelas jus peria setiap pagi dapat membantu menguatkan sistem imun dalam badan. Sistem imun ibarat ‘pengawal keselamatan’ yang menghalang penyakit menyerang.

Penjagaan mata
Peria juga seperti lobak, mengandungi karoten yang tinggi. Karoten dapat mengurangkan masalah mata.

Menurunkan berat badan
Peria dapat merangsang hati untuk rembesan jus hempedu yang sangat penting untuk meningkatkan metabolisme badan.

Baik untuk perut
- Peria sememangnya ejen pencernaan yang bagus dan boleh menghalang sembelit kerana ia mengandungi selulosa yang juga sumber serat terbaik.

Resipi: Peria goreng rangup
Bahan:
5 biji peria sederhana besar
Sedikit serbuk cili
Sedikit tepung beras
2 sudu teh tepung jagung
2 sudu teh kunyit
Garam secukup rasa
Minyak masak

Cara membuatnya :
Peria dihiris bulat dan nipis, buang tengahnya. Basuh dan toskan.
Campur semua bahan kecuali minyak dan perap selama 30 minit.
Panaskan minyak, goreng peria hingga berwarna perang dengan api yang sederhana.
Angkat dan toskan.
Siap untuk dimakan.

Sumber artikal : Arkib Berita Harian.

2 ulasan:

  1. yg ni leh ubat kencing manis kan...org kata leh potong gula dalam badan

    BalasPadam
  2. suka rasanya walau pahit tp banyak khasiat

    BalasPadam

nuffnang