Pengikut

SELAMAT DATANG KE LAMAN Agrohias.blogspot.com

Tanah pertanian yang luas saujana mata memandang tidak akan mendatangkan manafaat sekiranya tidak diurus dengan baik, sebaliknya kawasan persekitaran rumah yang sempit dan terhad boleh memberikan pulangan sekiranya diurus dengan betul.Disamping sebagai sudut rekreasi dan santai, persekitaran rumah juga dapat menghasilkan keperluan harian seperti sayuran dan buahan segar sekiranya ada usaha dan kemahuan.Blog ini dibangunkan khusus untuk berkongsi idea dan pengalaman rakan yang meminati bidang agro sama ada sebagai tanaman hiasan, sara diri atau komersial. Juga sebagai medan mempromosikan teknik berkaitan agro dan hasil yang diusahakan.Semoga ruangan ini memberi manafaat kepada kita semua- Budr® Agrohias.blogspot.com

COUNTER

Translator

Selasa, 27 Oktober 2015

Penggunaan Bahan Tut Moden GP7 dan Teknik Tut Pokok

 Tut pokok dan dokumentasi

  1. 1. Pembiakan Tanaman Kaedah Tut Terdapat pelbagai teknik pembiakan bagi pengeluaran bahan tanaman buah-buahan yang boleh digunakan. Antaranya adalah seperti sandingan, cantuman matatunas,cantuman sisi, sulur, akar dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, disebabkan alasan-alasan yang tertentu, bukan semua teknik sesuai bagi pengeluaran benih buah-buahan.Hanya teknik-teknik yang selalu dipraktikkan sahaja sesuai bagai pembiakan benih.Antara yang popular ialah melalui Kaedah Tut.Teknik ini telah lama dipraktikkan akan tetapi banyak mempunyai kelemahan seperti kerosakkan pada pokok asalnya. Selain itu, pengeluaran anak benihnya terhad dan pertumbuhan yang tidak menentu. Teknik ini biasanya sesuai dilakukan pada pokok ciku, jambu batu dan limau. TUT POKOK (Marcotting) Mengetut Pokok (Marcotting) adalah salah satu daripada kaedah pembiakan tampang(vegetative propagation). Pembiakan Tanaman dijalankan melalui pelbagai kaedah iaiitu Cara Sexual dan Asexual. Cara sexual adalah dengan menggunakan Biji Benih (Seed) yang dihasilkan melalui proses pendebungaan bunga jantan dan betina. Kaedah Pembiakan Asexual ialah dengan Cara Pembiakan Tampang (Vegetative) dimana sebahagian daripada bahagian tumbuhan itu digunakan sebagai asas untuk pembiakan.Pembiakan tampang terdiri dari bahagian SEMULAJADI (Sulur, Rhizom, Umbisi, Bebawang,Rayapan dan sebagainya), KERATAN (Keratan akar, Pucuk dan batang), CANTUMAN (Banyak jenis cantuman) dan TUT. Salah satu panggilan biasa bagi kaedah mengetut. 
  2. 2. Teknologi Lenturan Udara (tut). Pembiakan cara ini sesuai digunakan untuk pokok-pokok yang susah dibiak dengan cara tampang yang lain. Biasanya dilakukan pada pokok-pokok jenis kayu keras seperti pokok kenanga, cempaka, limau dan ciku. Teknik dan Cara Mengetut : Sediakan tanah campuran yang sesuai yang mempunyai sifat-sifat senang dikepal, melekat dan yang boleh menyimpan airdengan secukupnya selama masa dahan dalam proses pengakaran. Tanah campuran biasa digunakan ialah 2 bahagian isipadu tanah peroi 1 bahagian isipadu baja. Padamasa ini bahan mengetut moden telah ada dipasaran seperti campuran ‘coco-peat”dengan pelbagai nama seperti GP7 dan sebagainya. Kerja mengetut tanaman juga menjadi mudah dengan teknologi GP7. Pemilihan dahan yang sesuai untuk di tut mestilah dipilih daripada pokok dan dahan matang, sihat, segar dan tidak berpenyakit atau diserang serangga. Dahan mestilah dari kayu keras atau sederhana keras dengan ukur lilit dahan sekurang-kurangnya lcm garis pusat. Pastikan dahan yang dipilih sebaiknya seimbang dari segi bentuk cabang, berbentuk lurus dan mendapat cukup cahaya matahari.
  3. 3. Langkah-langkah mengetut Walau pun kerja ini Nampak agak mudah tetapi kadang-kadang yang dibuat tidak menjadi. Langkah-langkah berikut perlu di fahami sebelum membuat pembiakan secara tut. a) Sediakan kepalan campuran tanah sebesar telur ayam dan direnjis air sehingga lembab b) Pilih dahan yang sesuai serta buangkan daun- daun dan ranting-ranting di bawah kelaran yang akan dibuat.
  4. 4. c) Buatkan kelaran keliling, pertama di bawah mata tunas dan kelaran kedua dibuat sekurang-kurangnya 3cm di bawah dari kelaranp ertama. d) Kupas kulit di antara dua kelaran dan kikiskan (kambium) hingga ke kayu. e) Sapukan hormon penggalak akar di kelaran atas
  5. 5. f) Ikatkan plastik di bahagian kelaran bawah. g) Dekatkan tanah yang telah dikepal di bahagian dahan yang telah dikikis tadi, tentukan tanah itu padat dan melekat dengan baik.h) Bungkus kepalan tanah dengan kertas plastikdan diikat pada kedua-dua hujungnya.
  6. 6. i) Selepas 2 - 3 bulan, tut ini akan mengeluarkan akar dan boleh dipotong bahagian bawah dan diubah ke dalam polibeg plastic untuk proses pembesaran anak benih. Kelebihan dan Kekurangan i. Kelebihan Ciri pokok induk diwarisi Tanaman baru cepat matang ii. Kekurangan Perlu kemahiran membuat tut Tidak boleh membiak dengan kuantiti banyak pada pokok induk. 
  7. Klik pada nombor berwarna untuk lihat dokumentasi. - Sumber :  http://www.slideshare.net/AniAzfar/tut-pokok-dokumentasi

KAEDAH TUT DAN CANTUMAN POKOK

1.  PANDUAN CANTUMAN DAN PEMANGKASAN POKOK LIMAU

Proses penyediaan bahan tanaman cara cantuman adalah seperti berikut:-
  • Pemilihan Baka Pokok Penanti
    Pokok penanti yang sesuai digunakan untuk cantuman limau ialah jenis Troyer citrange, Cleopatra dan Rangpur lime.  Pokok penanti yang dipilih hendaklah tahan kepada penyakit utama seperti tristeza dan phythopthora, mudah dibiak sesuai untuk beberapa jenis tanah dan sesuai dicantum dengan limau yang hendak dibiakkan.
     
  • Pemilihan Matatunas
    Matatunas mesti diambil daripada pokok yang subur dan bebas daripada segala penyakit terutama virus dan greening.  Ranting sebesar batang pensil dengan tunas-tunas dorman di celah ketiak daun dipilih.  Mata tunas seelok-eloknya digunakan segera selepas dipotong.
     
  • Kaedah Cantuman
    Kaedah cantuman yang disyorkan ialah cantuan tunas kepingan, cantuman tunas T, cantuman tunas serpihan dan cantuman tunas baji sisi.
     
  • Cantuman Tunas Kepingan (patch budding)
    Cara ini merupakan satu daripada cantuman yang paling biasa digunakan untuk limau dan buah-buahan tropika lain.  Dengan teknik ini, pokok penanti dan matatunas yang digunakan hendaklah sama garis pusat dan umurnya.  Cara mencantum adalah dengan memotong kepingan berbentuk empat persegi bujur pada pokok penanti.  Bekas potongan itu dilekatkan dengan kepingan matatunas yang sama saiznya.
     
  • Cantuman Tunas T/Cantuman Tunas T Terbalik/Cantuman Tunas Perisai
    Cara ini adalah antara teknik cantuman yang biasa digunakan untuk limau.  Ia terhad kepada penanti berukuran 0.6-2.5 cm garis pusat, kerana pada peringkat ini pokok sedang tumbuh dengan aktif dan kulit kayu mudah dipisahkan dari kayunya.

    Untuk cantuman T pokok penanti dituris melintang dan ke bawah hingga membentuk T.  Semasa menuris ke bawah mengguna pisau, kulit batang dibuka sedikit.  Satu kepingan matatunas yang elok dipotong dengan pisau yang tajam.  Kepingan matatunas ini ditolak ke bawah dua keping kulit yang telah terbuka pada pokok penanti.

    Untuk cantuman T terbalik pokok penanti dituris berbentuk T-terbalik iaitu turisan melintang di bawah turisan menegak.  Semasa menuris melintang, pisau dipusingkan ke atas sedikit supaya turisan melintang dan melengkong sedikit.
     
  • Cantuman Tunas Serpihan (Chip budding)
    Cantuman ini dilakukan dengan membuat satu turisan yang sama pada pokok penanti dan matatunas.   Turisan pertama dibuat disisi pokok penanti, manakala turisan kedua dibuat memanjang ke bawah kira-kira 2.5 cm panjangnya hingga bertemu turisan pertama.  Bagi keratan matatunas pula satu turisan melintang dibuat kira-kira 1 cm di bawah matatunas.  Ini diikuti dengan satu lagi turisan 2.5 cm di atas matatunas hingga ke bawah bertemu dengan turisan pertama.  Kepingan ini dicantum ke bahagian pokok penanti yang dipotong.
     
  • Cantuman Tunas Baji Sisi
    Serpihan mata tunas disediakan dengan membuat dua potongan yang sendeng, potongan A lebih panjang sedikit daripada potongan B.  Kedua-dua potongan bertemu di bawah mata tunas.  Potongan A dibuat di sebelah batang yang leper untuk mendedahkan kambium.  Lepas ini serpihan ini dimasukkan ke pokok penanti yang telah siap dituris.  Cantuman biasanya dibuat pada ketinggian 25-30 cm. dari paras tanah

    Anak benih di tapak semaian perlu dijaga dengan rapi.  Anak benih perlu disiram 1-2 kali sehari mengikut keadaan cuaca, dibaja dan dibuat kawalan serangga dan penyakit dari masa ke masa mengikut keperluan.  Baja foliar boleh digunakan sebagai baja tambahan jika pertumbuhan pokok kurang subur.  Selepas 2-3 bulan pokok cantuman boleh dipindah ke ladang.

     

     

2.  KAEDAH TUT DAN KAEDAH CANTUMAN BAJI CIKU
Kaedah tut biasa digunakan kerana tekniknya mudah dan pokoknya cepat berbuah.  Kelemahan kaedah ini adalah bahan tanaman daripada satu pokok induk tidak banyak diperolehi.  Pokok tut mudah tumbang terutama jika ditanam di kawasan yang mengalami angin kencang.
Cara Membuat Tut
Pucuk yang sihat mempunyai saiz dahan berukuran garispusat 1.0-1.2 cm dipilih untuk ditutkan.  Satu lingkaran kira-kira 2 cm panjang dibuat pada batang pucuk.  Lingkaran tersebut dibiarkan 1-2 minggu.  Sedikit hormon seperti Seradix No. 2 disapukan pada lingkaran ini.  Kepalan tanah disediakan dengan menggunakan campuran tanah atas dan tahi lembu dengan kadar 2:1.  Campuran ini ditambah sedikit air sehingga boleh dikepal.  Bahagian batang yang dilingkarkan dibalut dengan kepalan tanah dan seterusnya dibungkus dengan plastik dan diikat.  Dahan akan mengeluarkan akar dalam masa 4-6 bulan.  Dahan yang telah berakar ini boleh dipotong dan ditanam di dalam politen beg yang berisi tanah campuran iaitu tanah atas, pasir dan bahan organan dengan kadar 3:2:1.
Pokok tut ini disimpan selama 2-3 bulan di bawah rumah lindungan sebelum dialih ke ladang.  Penyiraman dilakukan sekali sehari dan pastikan tanah di dalam politen beg tidak terlalu basah atau bertakung air.  Proses penyediaan bahan tanaman ini memakan masa 7-10 bulan. 
Kaedah Cantuman Baji
Kaedah penemuan baru dalam pembiakan ciku. 
  • Penyediaan pokok penanti:

    Biji benih matang disemai di dalam kotak semaian berpasir.  Percambahan bermula 3-4 minggu.  Anak benih yang mempunyai 2 helai daun dialih ke dalam beg plastik bersaiz 20 cm x 30 cm berisi tanah campuran 3:2:1 (tanah atas: pasir : baja organan).

    Pokok penanti yang sesuai dicantum setelah berumur 10 bulan atau  15 cm tinggi.  Bahagian pucuknya dipotong dengan menggunakan pisau cukur sepanjang 8-10 cm dari pangkal pokok.  Pastikan bahagian pucuk yang tinggal masih berwarna hijau.  Kemudian batang pokok penanti dibelah dua sepanjang 2 cm dengan pisau cukur tadi.
     
  • Penyediaan tunas pucuk:

    Pucuk yang sihat berukuran 8-10 cm panjang berwarna hijau keperangan dan berdaun daripada klon terpilih sebagai sion.  Pucuk direndam di dalam larutan hormon seperti Pantas atau Indole Butyric Acid selama 10-15 minit dan dikeringkan dengan kain bersih.  Dengan menggunakan pisau nipis, pangkal pucuk dipotong berbentuk baji atau V.  Permukaan yang dipotong hendaklah rata dan licin serta berukuran kira-kira 2 cm panjang.  Daun-daun dikerat separuh.
     
  • Penyisipan pucuk sion ke pokok penanti

    Pucuk akan disisipkan pada pokok penanti yang telah dibelah dengan kemas.  Cantuman ini diikat tali rafia yang halus.  Pokok yang telah dicantum ditutup dengan sarong plastik dan diletakkan di bawah lindungan.  Beg plastik ini boleh ditanggalkan selepas didapati pucuk baru keluar pada tunas atau 1 bulan selepas cantuman.  Ikatan tali boleh dibukakan selepas 1 1/2 hingga 2 bulan atau apabila didapati percantuman antara tunas pucuk sion dan pokok penanti telah kukuh.  Anak cantuman baji yang telah berjaya boleh dialih ke ladang setelah berukur 5-6 bulan.

     

     
3.  KAEDAH PEMANGKASAN POKOK (CANTAS)

Pemangkasan adalah penting bagi membentuk pokok menjadi  seimbang dan tidak terlalu tinggi supaya mudah diurus ia juga dapat mengeluarkan hasil yang tinggi dan berkualiti. Terdapat tiga jenis cantasan iaitu:-
  • Cantasan Bentuk

    Pokok dibiarkan tumbuh dengan satu batang utama setinggi 1.5 m.  Di awal musim hujan, batang utama dipangkas pada paras 1m untuk menggalakkan pengeluaran cabang.  Batang pokok diikat pada kayu pancang supaya pokok tumbuh tegak.  Beberapa tunas akan tumbuh di batang utama.  Pilih empat batang yang agak teguh dan seimbang dan buang yang selebihnya.  Tunas-tunas tadi dibiar tumbuh menjadi cabang pertama dan seterusnya membentu batang pokok. (Sila lihat gambarajah).

    Apabila kesemua empat cabang pertama telah mencapai 1.5 m panjang, ia dicantas semula pada jarak 1m dari batang utama.  Tunas-tunas baru akan tumbuh dan pilih tunas-tunas yang menghala keluar untuk disimpan.  Gunting tunas yang tumbuh menghala ke arah dalam pokok untuk memberi bentuk pokok 'terbuka tengah'.  Bentuk pokok yang seimbang dengan ruang dahan utama yang lapang akan mendapat pengudaraan dan cahaya matahari yang mencukupi.  Ini akan menjamin pertumbuhan pokok yang sihat.  Pemangkasan keseluruhan masih perlu diteruskan dua kali setahun sehingga pokok menghasilkan buah.  Tunas-tunas air serta dahan berpenyakit dan cedera hendaklah digunting. (Sila lihat gambarajah).
  • Cantasan Penjagaan (pokok dewasa)

    Pemangkasan seterusnya dibuat selepas pengeluaran hasil pertama.  Potong dahan-dahan yang melentur serta mencecah tanah dengan menggunakan gunting atau gergaji pangkas.  Gunting semua tunas air serta dahan yang menegak ke atas dan yang tumbuh menghala ke dalam pokok.  Potongan hendaklah dibuat rapat ke dahan.  Buang dahan-dahan yang mati dan berpenyakit hingga tanda-tanda mati atau penyakit tiada kelihatan pada dahan tersebut.  Kemudian sapukan cat ke atas keratan tersebut untuk mengelakkan jangkitan merebak.  (Sila lihat gambarajah).
  • Pemangkasan Bunga dan Buah

    Pada keadaan terentu, pemangkasan bunga dan buah dilakukan untuk mempertingkatkan saiz dan kualiti buah.  Ia dilakukan supaya buah tidak terlalu lebat dan mengurangkan kesan biennial bearing.  Jika buash terlalu lebat ia akan menjejaskan pertumbuhan dan penghasilan tahun berikutnya.  Kadar pemangkasan buah adalah bergantung kepada kesuburan pokok dan juga jumlah buah. 

    Pemangkasan bunga dan buah dibuat dua kali (jika perlu).  Pilih ranting yang matang dan gunting sebelum buku ruas.  Berhentikan pengairan kepada pokok buat sementara bagi menggalakkan pengeluaran bunga.  Empat minggu selepas pemangkasan bunga akan keluar sepenuhnya. (Sila lihat gambarajah).




Ahad, 11 Oktober 2015

Harga Buah Tin Rm 40.00 - 80.00 Sekilogram

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

am@hmetro.com.my

Setiu: Ramai orang yang ‘gila’ pada orkid tidak kurang juga yang meminati bonzai untuk dijadikan pokok hiasan serta dijadikan sumber pendapatan mereka, namun seorang lelaki dari Kampung Pengadang Baru, di sini, memilih menanam pokok tin di kebun miliknya di Kampung Pelong, Setiu.

Rosli Zakaria, 56, sanggup membelanjakan RM50,000 membeli 80 jenis pokok tin termasuk Albacor Comuna, De la Reina, Bordisotte de Blanca, Manresa, Red Saudi Brown Turkey Modifield 6, Black Jack dan Taiwan Golden Fig untuk ditanam di kebun miliknya seluas 1.2 hektar.

Menurutnya, pada peringkat awal dia menanam enam jenis pokok tin dan setiap pokok berharga RM250.

“Saya mula menanam pokok itu pada Mei dan dalam tempoh tiga bulan ia berbuah. Buah tin sangat berkhasiat dan manis.

“Walaupun pokok tin mempunyai 2,000 jenis tetapi tidak semua yang sesuai ditanam di negara ini,” katanya ketika ditemui.

Harga pasaran bagi buah tin di negara kita ketika ini antara RM 40.00 - 80.00 sekilogram mengikut saiz dan jenisnya.
Sumber: Akhbar Metro Ahad . - Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:07 AM: Pokok tin RM50,000

Khamis, 10 September 2015

Iklim Malaysia Sesuai Untuk Tanaman Kurma

Belum lagi reda tentang pokok Tin @ fig tiba-tiba tanaman kurma @ tamar pula mencuri tumpuan. Saya terima kiriman daripada kawan-kawan grop "WhatsApps" tentang tanaman padang pasir ini yang boleh berbuah di negara kita. Sebelum inipun, pada tahun lepas kita digemparkan dengan 10 pohon tamar yang di tanam sebagai tanaman landskap di bandar Kota Bharu berbuah dengan lebat. Diikuti pula dengan beberapa pokok lagi di tempat berlainan. Namun kesemua pokok tamar tersebut mengambil masa yang agak lama untuk berbuah.

Berlainan dengan sumber yang saya terima pada kali ini. Dikhabarkan pokok-pokok kurma ini boleh mengeluarkan buah seawal usia 2 tahun dan boleh ditanam di dalam pasu. Jika benar begitu bertuahnya iklim negara kita. Sama seperti negara Thailand yang boleh dikatakan tiada tanaman yang tidak dapat tumbuh di buminya.

Anak-anak pokok seumpama anak kelapa sawit. Sesuai ditanam pada semua jenis tanah kecuali yang mempunyai air bertakung. Kaedah penanamannya juga hampir serupa dengan menanam pokok sawit.Menurut pengirim info lagi tamar boleh ditanam secara ladang dengan kedalaman 1 kaki dengan luas 2x2 kaki.Jarak antara pokok pula ialah 28 kaki atau kadar 60 pokok untuk satu ekar persegi.

Kurma boleh berbuah hanya 2 kali setahun.Satu pokok tamar matang boleh menghasilkan kira-kira 100 kg buah setahun dengan harga pasaran RM 40 sekilogram. Yang agak menggusarkan ialah benihnya yang agak mahal. Menurut sumber lagi harga sepopok benih tamar kira-kira RM 350.

Saya sempat berbicara dengan salah seorang yang terlibat menjalankan aktiviti perniagaan  tanaman ini, En. Sabar bin Sulaiman yang berlokasi di Batu Pahat, Johor. Menurutnya pada masa ini hanya terdapat pokok-pokok tamar matang yang telah berbuah di Kelantan dan Kedah. Di negeri-negeri lain masih pada peringkat awal penanaman.

Menurutnya lagi, mereka adalah konsultan penanaman tamar sehingga berbuah dan pembekalan nursery kurma atau tamar.Jika terdapat pengusaha-pengusaha yang berminat untuk menanam secara ladang, mereka boleh memberi bantuan dan pemantauan sehingga tanaman tersebut berbuah.

Bagi peminat tanaman ini secara suka-suka, En. Sabar mencadangkan agar tanaman ini ditanam di 4 penjuru kediaman.Syarikatnya boleh membekalkan anak benih dengan harga RM 370 sepokok beserta baja. Khidmat nasihat dan pemantauan juga diberikan sehinggalah tanaman ini berbuah. Menurutnya lagi pokok-pokok di bawah seliannya akan diganti baharu jika mati.

Contoh kurma Thailand.
Gambar bawah ialah pokok kurma yang saya semai sendiri. Berusia lebih 2 tahun. Sekadar suka-suka dari baka YUTA. Saya tidak pasti samaada kurma yang ditanam secara pembiakan biji benih ini dapat berbuah atau tidak. Hasil pemerhatian saya dalam kalangan penduduk setempat yang menanam pokok ini, sehingga kini pokok kurma yang ditanam mereka masih belum menampakkan tanda-tanda mahu berbuah.

Contoh kurma baka YUTA.
Untuk pertanyaan En. Sabar boleh dihubungi di talian 0137141728.

Info sumber : En. Rozidi (Bagan Serai) dan En. Muazam (Johor).

Isnin, 7 September 2015

Anak-anak Pokok Tin Yang diusahakan Saudara Azli

Beberapa minggu lalu ketika transit di rumah sahabat untuk aktiviti rutin menjoran, kediaman cikgu Nizam, di Bandar Baharu, Kedah saya terpandang anak-anak pokok tin yang berbaris menjajari tepian pagar salah seorang penduduk taman perumahan di situ.

Betul-betul di hadapan rumah cikgu Nizam. Saya amat teruja lantas bertanyakan siapa gerangan pemiliknya. 

Semalam saya mendapat jawapannya, disertakan dengan sedikit info dan foto tentang tanaman yang diusahakan pemilik rumah tersebut.

Pohon tin yang ditanam secara terbuka dan bermediumkan pasu plastik sederhana tanpa pelindung panas.

Ini wajah pengusaha tanaman tersebut, saudara Azli Hamid yang tinggal di Taman Sri Delima, Bandar Baharu, Kedah. Setakat ini terdapat lebih kurang 20 spesis pokok tin yang dibiakkannnya secara keratan batang dan tut.

Anak-anak benih dari keratan batang dan pokok tut yang baharu dialihkan ke dalam bekas semaian.


 Anak-anak benih yang mulai pulih telah dialihkan ke dalam pasu.
Pokok-pokok yang telah matang dan menghasilkan buah disusun rapi di sekekitar ruangan tepian rumah yang terhad.

Untuk memastikan tumbuhan ini tumbuh dengan baik, saudara Azli menggunakan campuran tanah yang tidak menyimpan terlalu banyak kandungan air. 

Beliau juga menggunakan serpihan kulit telur yang dihancurkan untuk mengelakkan serangan sesetengah serangga.
Tanaman tin yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak empat tahun belakangan ini juga menarik minat sahabat saya, cikgu Nizam untuk mencuba tanaman ini di kediamannya. 

Gambar bawah ialah pokok tin yang baru dibeli daripada Saudara Azli.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan anak benih pokok ini, bolehlah berkunjung ke kediaman Saudara Azli  di Taman Sri Delima, Bandar Baharu, Kedah Darul Aman. 

Rakan-rakan agro yang tinggal sekitar Slim River boleh juga memesan melalui saya jika kebetulan jadual atau trip menjoran saya yang berlangsung di sebelah utara. 

Harga yang ditawarkan agak berpatutan dan bergantung kepada saiz dan jenis pokok. Sehingga catatan ini dibuat harga yang dimaklumkan kepada saya bermula dengan RM 100 untuk setiap anak pokok.- Tokanpuakajoran. - Gambar-gambar sumbangan cikgu Nizampuakajoran.

Jumaat, 4 September 2015

Cili Penghias Halaman

Hari ini saya masih ingin membuat "posting" tentang sesi rondaan saya ketika pulang ke kampung. Saya paparkan bagaimana usaha gigih seorang teman yang menjadikan halaman rumahnya hijau dengan tanaman cili besar. Begitu subur dan lebat berbuah. Sayangnya sewaktu ketibaan saya cili-cili ini belum masak.Jika tidak suasana pasti lebih menarik.





Menurut pengusahanya En. Halil, dia menanam tanaman ini sebagai aktiviti sampingan dan hobi. Jika kita menanam bunga-bungaan kita mungkin dapat hanya sebagai penyeri halaman tetapi jika kita menanam sayur-sayuran kita juga dapat menikmati hasil berganda. Selain daripada penyeri cili-cili ini dapat dijadikan sayuran harian dan selebihnya disedekahkan kepada jiran-jiran. Jika berlebihan pula cili-cili ini dijual di kedai berhampiran.

Penjagaan tanaman ini tidaklah terlalu sukar. Beliau hanya menggunakan tanah di persekitaran rumah manakala bajanya daripada kompos yang terdapat di persekitaran dan tinja kambing. Apa yang menjadi masalahnya ialah jika tanaman ini terkena penyakit atau diserang serangga perosak seperti hama dan semut. En. Halil menggunakan kaedah cabut dan bakar jika pokok-pokok ini tidak dapat diselamatkan bagi mengelakkan penyakit merebak ke pokok lain.

Penggunaan racun serangga perosak dengan kadar yang terkawal juga kadang-kala terpaksa diamalkan namun keselamatan penggunaannya haruslah dititikberatkan memandangkan pokok-pokok cili ini di tanam di kawasan halaman rumah. Racun serangga yang dicadangkan ialah dari jenis aerosol yang bahan cairannya berasaskan air.

Jika ada pembaca yang sudi berkongsi teknik pembuatan racun serangga berasaskan bahan semula jadi dan organik, beliau sangat mengalu-alukannya.

Ahad, 30 Ogos 2015

Ternakan Secara Kecil-kecilan Kambing Kampung

Pulang ke kampung rasanya tidak lengkap jika tidak berkunjung ke rumah nenek. Saya paparkan tentang penternakan secara kecil-kecilan yang diusahakan keluarga.

Penternakan kambing kampung mengambil alih ternakan kambing boer dan kacukan lain selama ini yang tidak begitu sesuai dengan persekitaran. 

Kambing kacukan amat "manja" dan terlalu mudah terkena alahan.Kos makanannya juga agak tinggi dan sukarnya untuk mendapatkan pasaran apabila diternak secara kecil-kecilan. 

Kambing baka kampung lebih lasak dan lebih senang untuk dipasarkan.

Terdapat lebih 60 ekor kambing baka kampung yang diusahakan oleh nenek dengan bantuan bapa saudara. 

Menjadi salah satu sumber pendapatan sampingan, hiburan dan aktiviti riadah yang bermanfaat. 

Sesekali menjadi hidangan untuk santapan keluarga.






Belimbing Buluh

Pulang menjengah ke teratak bunda di kampung. Teruja sungguh melihat pohon belimbing buluh yang berbuah lebat. Hanya boleh lihat. Mahu dibuat ramuan masakan setakat manalah sangat. Biarlah menjadi hiasan disamping menjadi sebahagian sedekah kepada jiran-jiran dan saudara mara yang berminat.







Selasa, 25 Ogos 2015

Nanas: Mengambil Risiko Sebagai Tanaman Hiasan di persekitaran Kediaman

Sesekali mencuba apa salahnya. Sebelum ini bekas plastik polybag saya gunakan untuk tanaman lain seperti jagung,terung dan cili api.Setelah bekas yang digunakan untuk menanam tanaman tersebut secara bergilir-gilir dimamah usia dan terdedah kepada pereputan, sebagai langkah akhir saya gunakan untuk menanam nanas pula. 
 
Saya kira jangkamasa yang diambil untuk nanas ini berbuah tidaklah lama seperti nanas terdahulu yang saya tanam di atas tanah sahaja. Jangkaan saya meleset. Sudah setahun lebih, belum menunjukkan tanda-tanda mahu berbuah.Mungkin faktor cuaca atau tanah telah kehabisan baja.Atau saya yang cuai membajai tanaman ini lantaran kesibukan waktu.Yang pasti, sukar untuk menguruskan tanaman ini lantaran duri-durinya yang tajam menusuk kulit.


Terdapat lebih kurang 50 pokok nanas yang saya tanam secara rojak bersama-sama pokok cili api dan kacang botol.Pokok-pokok nanas ini pula terdiri daripada nanas jenis Morris, nanas Sarawak, nanas Hijau dan nanas kacukan FELDA (N32).
Menanamnya di persekitaran rumah mengundang risiko kecederaan kepada penghuni rumah terutama anak-anak. Kadang-kadang menerbitkan perasaan malas tatkala melihat tumbuhan kita dibungkus semak samun. Apa tidaknya, terpaksa menahan derita ketika mencabut rumput rampai yang tumbuh akibat tertusuk duri.


Nanas hijau lebih tajam durinya.
Nanas N32, daunnya agak kemerah-merahan.
Nanas sarawak, berdaun kasar dan kurang duri.
Nanas Sarawak dari tanaman saya yang terdahulu.Boleh mencecah berat sehingga 2kg lebih sebiji.

Nanas hijau, juga dari tanaman saya yang terdahulu.Nanas ini dikatakan mampu merawat beberapa jenis penyakit.

nuffnang

Senarai Blog Pilihan