Tanah pertanian yang luas saujana mata memandang tidak akan mendatangkan manafaat sekiranya tidak diurus dengan baik, sebaliknya kawasan persekitaran rumah yang sempit dan terhad boleh memberikan pulangan sekiranya diurus dengan betul.Disamping sebagai sudut rekreasi dan santai, persekitaran rumah juga dapat menghasilkan keperluan harian seperti sayuran dan buahan segar sekiranya ada usaha dan kemahuan.Blog ini dibangunkan khusus untuk berkongsi idea dan pengalaman rakan yang meminati bidang agro sama ada sebagai tanaman hiasan, sara diri atau komersial. Juga sebagai medan mempromosikan teknik berkaitan agro dan hasil yang diusahakan.Semoga ruangan ini memberi manafaat kepada kita semua- Budr® Agrohias.blogspot.com
Lemuni ialah sejenis tumbuhan renek dan kadang kala boleh membesar melebihi ketinggian 5 meter.Saya tidak pasti kegunaannya, namun dari penceritaan orang tua-tua, tumbuhan ini boleh digunakan dalam ramuan perubatan secara tradisional untuk merawat ibu-ibu lepas bersalin serta rawatan luka-luka kecil. Daunnya juga dikatakan boleh dijadikan salah satu bahan campuran untuk memasak nasi beriani.
Kali ini betul-betul dihadapan pintu masuk rumah sewa saya. Mulanya ranting kecil menjalar ke arau pintu. Saya patahkan ranting tersebut kerana mengganggu laluan keluar masuk ke rumah. Seminggu kemudian kelihatan tunas baru tumbuh dan diikuti bunga. Kini buahnya semakin membesar.
Sebelum keluar ke pasar pagi tadi saya sempat melihat-lihat tanam-tanaman saya. Jagung-jagung sudah boleh dipetik. Saya kira masih belum boleh dituai, rupa-rupanya sudah hampir keras isinya.
Inilah sebahagian jagung yang telah dipetik. Sebahagian lagi yang belum matang.
Paparan ini adalah lanjutan atau kesinambungan entri Cili Penghias Taman yang saya paparkan beberapa minggu lalu.Sewaktu itu pokok -pokok cili ini belum membesar dan baru ditanam. Petang semalam saya berpeluang mengunjungi semula lokasi ini. Lihatlah, betapa suburnya tanaman yang diusahakan. Tali-temali digunakan untuk menyokong pokok yang merimbun. Daun yang menghijau kesan baja dan siraman melalui teknik titisan. Pak Abu, kakitangan yang menyelenggarakan taman. Sesetengah buah cili sudah menunjukkan tanda-tanda masak dan boleh dipetik Panjang cili yang dihasilkan hampir-hampir 6 inci.
Saya baru mendapat maklumat dan nama sebenar bunga yang digunakan sebagai pewarna nasi kerabu daripada rakan-rakan setugas. Menurut mereka nama bunga ini ialah bunga telang mengikut pertuturan masyarakat setempat. Dikenali juga dengan nama blue pea , clitoria flower ataupun food dye. Mungkin sebutan nama bagi bunga ini berbeza mengikut tempat.Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi maklumat dan maklum balas. Maklumat lengkap boleh didapati http://www.malaysiabest.net
Pokok bunga telang. Biji benih pokok telang seakan-akan kacang parang dan bersaiz kecil. Terhasil apabila buahnya masak. Awas! di bawah ini bukan pokok bunga telang sebaliknya bunga serombong atau bunga loceng.(Tidak pasti nama sebenar) . Jangan tersilap kerana kedua-dua bunga yang dipaparkan berwarna biru. Lokasi:Taman skb3
Sedar tidak sedar pokok jagung yang saya tanam di sekitar rumah sudah mahu membuahkan hasil. Sebahagian pokok kelihatan agak subur manakala sebahagian yang lain seperti tidak bermaya berbanding dua minggu setelah ditanam. Kesilapan saya mungkin jarak penanaman yang agak rapat yang menyebabkan sesetengah pokok terbantut tumbesarannya. Mungkin juga terlebih baja siraman yang saya lakukan menyebabkan daun-daun ini menjadi kering seperti terbakar. Ada pokok yang langsung mati setelah mengeluarkan bunga. Kerana terlalu ghairah ingin melihat daun menjadi hijau, saya bajai pokok ini tanpa mengikut aturan dan jadual yang sepatutnya. Akhirnya sebahagian pokok menjadi rosak. Pokok-pokok yang ditanam di bahagian tepi rumah. Pokok jagung yang ditanam di belakang rumah. Kelihatan kekuning-kuningan dan kurang subur. Sudah berbunga.
Gambar-gambar ini saya rakamkan ketika singgah di Pejabat Felda Gunung Besout 1, baru-baru ini. Kaki tangan pejabat Felda tersebut menjadikan perkarangan pejabat mereka sebagai taman mini dan ditanam cili dengan sistem siraman air dan baja melalui kaedah titisan secara berjadual. Pokok-pokok cili kelihatan subur dan sesuai hidup dengan kaedah tersebut.
Pokok kaduk juga tergolong dalam tumbuhan herba. Daunnya boleh dibuat ulam.Scara tradisi daun kaduk dapat mengurang atau menurunkan panas badan kanak-kanak yang deman dengan memandikan kanak-kanak tersebut dengan air yang bercampur dengan ramasan daun ini serta dicampur juga dengan daun durian belanda.Buah kaduk pula dapat dijadikan ramuan atau penambah perisa jika ditambah ke dalam masakan seperti masakan kari kambing.
Nama sebenar pokok ini saya tidak pasti, tetapi bunga daripada pokok ini biasanya digunakan sebagai pewarna untuk menjadikan nasi kerabu kebiru-biruan. Lokasi SKB 3